16 Ogos 2015 hari Ahad. Selepas subuh lebih kurang jam 5 pagi aku mendengar santriwan dan santriwati dari Masjid Raya Bukit Tinggi sedang belajar agama. Didikan Subuh-membaca al Quran dan hadis Nabi.Mereka juga berikrar beramai-ramai antara ikrarnya yang sempat aku catat ialah:
1.Solat sepanjang hayat
2. Mengaji setiap hari
3. Berbakti kepada ayah dan ibu
4. Patuh dan hormat kepada guru
5. Menuntut ilmu tiada jemu
6. Setiakawan dan memaafkan
Mereka akan membaca hadis dan memberikan maksud secara berganti-ganti dan memanggil nama kawan seterusnya sendiri tanpa memerlukan pengacara. Merdu suara anak kecil mengaji...malam tadi selepas Maghrib juga ada tazkirah tentang kepentingan solat dan larangan solat bagi wanita. Seronok mendengarnya dari bilik Amali Gallery Hotel ini. Bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu jadi mudahlah aku memahami dengan baik. Kalau menggunakan bahasa Minang mungkin susah sedikit.
Pagi ini selepas sarapan kira-kira jam 9 pagi barulah bertolak ke destinasi seterusnya iaitu Lobang Jepang. Aku mengambil gambar terlebih dahulu di Taman Panorama ini. Ada pulak kera dan anaknya ni sedang bersantai di hujung minggu.
Tak jauh kira-kira 2 km je dari kota.
Keindahan alam Ngarai Sianok yang berlatarbelakang Gunung Singgalang.
Sejuk pagi ini,aku memakai baju Bukit Tinggi hari ini.
Gunungnya tidak begitu kelihatan kerana kabus agak tebal pagi ini.
Sekitar Taman Panorama.
Peninggalan Jepun ketika menjajah Bukit Tinggi dan sekitarnya. Pembangunan lobang atau terowong ini dikatakan bermula pada tahun 1942 dan banyak mengorbankan nyawa kerana buruh paksa ini bekerja 24 jam sehari dan hanya diberi makan bubur nasi sekali sehari sahaja.
Untuk masuk ke terowong ini aku ditemani oleh tour guide khas Lobang Jepang,namanya Taufik. Sebelum masuk,aku diberikan penerangan tentang pelan lokasi terowong ini.
Menuruni tangga menuju terowong. Sebelumnya Lobang Jepang merupakan tempat penyimpanan,perbekalan san peralatan perang tentera Jepun. Panjang terowong ini kira-kira 1400m dan berkelok-kelok serta memiliki lebar sekitar 2 meter.
Taufik - tour guide di dalam Lobang Jepang. Dua kali dia menanyakan sama ada aku datang sendirian atau tidak. Mungkin kurang percaya apabila mengetahui yang aku datang sendirian sejauh ini. Biasanya datang berkumpulan dengan kawan-kawan,katanya.
Lokasi Lobang Jepang ini amat strategik di kota yang dahulunya merupakan pusat pemerintahan Sumatera Tengah. Tanah yang menjadi dinding terowong ini merupakan jenis tanah yang jika bercampur air akan semakin kukuh bahkan gempa bumi yang melanda Sumatera Barat pada tahun 2009 tidak banyak merosakkan terowong ini.
Kira-kira puluhan atau ratusan ribu tenaga buruh paksa dikerah dari Pulau Jawa,Sulawesi dan Kalimantan untuk menggali terowong. Pemilihan tenaga kerja dari luar daerah ini merupakan strategi Jepun untuk memastikan rahsia ini tidak terbongkar. Tenaga kerja dari Bukittinggi sendiri dikerah untuk menggali terowong pertahanan di Bandung dan Pulau Biak.
Ketinggian sebenar terowong pada zaman dahulu hanya separas ketinggian aku itu sahaja. Lebar terowong ini tidak original lagi sebab untuk memudahkan pengunjung masuk.
Taufik bercanda cara aku mengambil gambar seperti cara mengambil gambar KTP,mungkin tegak macam patung. Aku pun buatlah gaya sikit.
Bayangkanlah mereka bekerja 24 jam di dalam ini,dengan tidak melihat cahaya matahari,udara yang lembap dan kotor serta kekurangan makanan.
Banyak bahagian yang ditutup untuk pengunjung. Aku hanya mengikut arah yang ditunjukkan oleh tour guide sahaja.
Masih dalam pembangunan lagi. Bakal menjadi tempat pameran pada masa akan datang. Semuanya memerlukan kos yang tinggi.
Ruang yang berbeza walaupun kelihatan sama. Kalau tiada tour guide kita mudah tersesat dan akan masuk ke ruang yang sama lagi.
Lobang Jepang ini mula dijadikan objek wisata sejarah pada tahun 1984 oleh pemerintah kota Bukittinggi. Beberapa pintu masuk ke Lobang Jepang terletak di kawasan Ngarai Sianok,Taman Panorama,Istana Bung Hatta dan di Kebun Binatang Bukittinggi.
Kalau sendirian dan dalam masa lama memang kita akan merasai kegerunan berada di dalam terowong ini.
Jalan keluar menuju ke Ngarai Sianok. Di sinilah biasanya tentera Jepun akan melakukan penyergapan kepada penduduk desa yang melalui kawasan ini. Mereka akan ditangkap dan hasil tani yang dibawa akan dirampas. Ada juga yang mati dibunuh dan hilang begitu sahaja selepas keluar ke hutan berdekatan.
Bahagian dapur ini bukannya dapur biasa tetapi ada rahsia di sebaliknya. Pintu pengamatan di bahagian atas itu merupakan tempat tentera Jepun mengintai kegiatan penduduk dari dalam terowong sebelum melakukan tangkapan.
Di bawah ini pula merupakan lubang untuk membuang pekerja yang sakit dan telah meninggal dunia. Kaki mereka akan diikat dengan batu. Lubang tersebut ditimbus dengan tanah bagi mengelakkan dimasuki oleh pengunjung.
Bahagian dapur. Makanan utama pekerja ialah bubur nasi. Bekerja 24 jam tetapi hanya diberi makan sekali sehari sahaja. Kejam sungguh!
Bahagian penjara berhampiran dengan dapur
Bahagian terakhir..tak sampai setengah jam berada di sini. Walaupun sejuk tapi jika terlalu lama dalam persekitaran yang lembap akan menyebabkan pelbagai penyakit.
Menurut Taufik, pasir yang dikorek tidak tahu diletakkan di mana,begitu rahsia kerja-kerja menggali terowong ini.
Bergambar dengan tour guide Lobang Jepang iaitu Taufik. Aku membayar Rp 100,000 sebagai upah khidmatnya.
Tidak ada pintu jadi pandai-pandai kitalah hendak menggunakannya.
Ramai pelancong keluar dari Lobang Jepang. Jepun kuasa penjajah yang cukup terkenal pada zaman dahulu,di Vietnam iaitu Chu Chi Thunnel juga mempunyai terowong Jepun yang lebih kecil dan menyesakkan pernafasan. Di Vietnam itu aku terpaksa merangkak dan menahan menggigil kerana memang gerun berada di dalamnya. Hendak berpatah balik memang tak boleh kerana lebar terowong muat-muat satu badan sahaja.
No comments:
Post a Comment