Tuesday, 25 August 2015

HARI KEDUA DI BUKIT TINGGI SUMATERA BARAT - ISTANA PAGAR RUYUNG

Hari kedua di Bukittinggi Sumatera Barat,15 Ogos 2015. Tempat yang dinantikan dan cukup terkenal iaitu Istano  Basa Pagaruyung.


Firman membeli tiket masuk Rp 12,000 seorang.


Terdapat gerai menjual cenderamata,makanan dan minuman.


Air dan buah-buahan pun ada dijual.


Pintu gerbang istana atau istano(bahasa Minang). Masa ni panas terik.


Lebih besar dan gah daripada Istana Silindung Bulan dan Rumah Gadang Pusat Dokumentasi Minangkabau.


Kompleks Istano Basa Pagaruyung ini mulai dibangun pada 27 Disember 1976,istana asal telah dibakar oleh Belanda pada tahun 1804.
Istana yang ada ini merupakan istana replika kedua . Istana replika pertama telah terbakar pada 27 Februari 2007 sekitar pukul 7.10 malam. Kebakaran itu disebabkan oleh sambaran petir yang sangat kuat pada gonjong paling barat yang merupakan salah satu dari dua gonjong yang paling tinggi,dengan ketinggian kira-kira 30 meter.



Istano ini merupakan tempat tinggal keluarga kerajaan dan sebagai Pusat Pemerintahan pada zaman dahulu. Kerajaan Minangkabau yang dipimpin oleh seorang raja yang dikenal sebagai "Raja Alam" atau "Raja Diraja Kerajaan Minangkabau".


Rumah Gadang Minangkabau dibina berdasarkan muafakat semua anggota kaum dan atas persetujuan Panghulu Nagari dan dibiayai oleh Suku.


Rumah Gadang berfungsi sebagai tempat pelaksanaan adat dalam kehidupan masyarakat dan Rumah Gadang merupakan bukti nyata kemampuan adat dalam menyatukan kepentingan,inspirasi dan keperluan anggota kaum untuk mencapai kehidupan damai dan harmonis di bawah penghulu kaum.



Istana ini terdiri daripada tiga lantai (tingkat),72 tonggak serta 11 gonjong. Istana ini berbeza dengan Rumah Gadang Minangkabau yang terdapat di sini,istana ini dilengkapi dengan surau,tabuah larangan,rangkiang patah sambilan,tanjung mamutuih dan pincuran tujuah.


Setiap bumbung dipasang dengan gonjong di hujungnya yang runcing menyerupai Mahkota di kepala raja. Terdapat 11 gonjong di istano ini. Pemasangan gonjong membawa maksud perpaduan seluruh rakyat dengan pemerintah.


Istano Basa Pagaruyung dibina kembali pasca kebakaran tahun 2007 sama seperti bentuk bangunan sebelum terbakar ,hanya posisi bangunan ditempatkan mundur ke belakang lebih kurang 40 meter. Kemudahan lain serta interior dalamannya dibina semula dan diisi seperti yang lama.



Istano Basa Pagaruyung mempunyai 9 ruang,satu ruang digunakan sebagai tempat jalan ke dapur yang disebut "Selasar",biliak pertama bermula dari sebelah kanan(pangkal rumah) dan biliak terakhir  berada di sebelah kiri yang disebut "ujung rumah"


Biliak(kamar) ini dihuni oleh puteri-puteri raja yang sudah bernikah. Biliak pertama atau yang paling kanan dihuni oleh puteri tertua raja yang sudah menikah dan seterusnya dihuni oleh adik-adik yang sudah menikah.


Tempat meletakkan hidangan makanan di hadapan biliak.


Umumnya rumah gadang dihuni oleh tiga generasi iaitu ibu,nenek dan anak. Apabila si anak dewasa,lelaki akan pergi merantau atau tinggal di rumah isterinya,maka ruang biliak yang ada di rumah gadang yang digunakan untuk anak perempuan sahaja .Jika biliak tidak cukup maka Koto Piliang diadakan penambahan ruang yang baru disebut Anjuang.


Biliak atau kamar tidur puteri yang sudah berkahwin. Setiap biliak atau kamar mempunyai jendela rahsia yang dinamakan "Singok" bermaksud:-

1. Setiap keluarga mempunyai kemerdekaan dan kedaulatan penuh
2. Setiap keluarga mempunyai kelengkapan yang layak sebagai sebuah keluarga
3. Setiap keluarga selalu bersedia dan waspada terhadap bahaya yang mengancam keutuhan keluarga tersebut


Singgasana Bundo Kanduang


Singgasana(kedudukan Bundo Kanduang) letaknya di lantai dasar sejajar dengan pintu masuk. Singgasana ini dilingkari dengan tirai yang terjuntai di sisi kanan,kiri dan depan. Di sinilah Bundo Kanduang duduk sambil melihat sesiapa yang datang atau yang belum datang.


Gong digunakan untuk membuat pengumuman


Bangunan istano terdiri daripada 72 batang tiang,3 lantai dan 11 gonjong.



Ukiran kayu pada syiling melambangkan ketekunan dan keharmonian masyarakat Minangkabau.


Ambil gambar dari tangga lantai 2. Di hujung itu ialah Anjuang Rajo Babandiang.Anjuang ini terletak di bahagian kanan atau pangkal rumah(istana) dan mempunyai tiga langgam(tingkat).
Fungsinya ialah sebagai tempat sidang langgam pertama,tempat beristirahat langgam kedua dan tempat tidur raja dan permaisur pada langgam ketiga.


Lantai dua tempat puteri raja yang belum bernikah.


Tempat beradu puteri raja di lantai 2 


Meja solek dan almari pakaian puteri raja



Anjung Peranginan berada di lantai dua dan berfungsi sebagai tempat puteri raja yang belum berkahwin tidur dan bermain.


Syiling yang dipenuhi ukiran dinamakan Jalo Taserak,manakala ukiran kayu pada lampu dinamakan Bungo Taratai Dalam Aia


Ukiran pada dinding melambangkan peranan adat dan agama yang digunakan sebagai pedoman bagi masyarakat. Ukiran mewakili ketajaman fikiran dan peradaban yang digunakan untuk menarik perhatian tetangga dekat dan jauh agar datang berkunjung.


Halaman istano dari jendela di lantai tiga


Rangkiang


Tanjung Mamutuih berada pada sisi kanan bangunan istano dan tetdapat sebatang pohon beringin yang dilingkari oleh batuan yang tersusun rapi. Lokasi ini berfungsi sebagai tempat bermain anak raja seperti bermain layang-layang dan sepak tekong.


Rangkiang Patah Sembilan ini berada di halaman istana. Fungsinya ialah sebagai tempat penyimpanan padi. Rangkiang ini juga menjadi simbol kemakmuran dan kekuasaan alam Minangkabau.
Ada 9 rangkiang yang memiliki 9 fungsi,antara fungsi rangkiang ialah:
1. Penyimpan harta
2.pertahanan
3.menyimpan kekayaan untuk pembangunan negeri
4.digunakan untuk sosial
5.digunakan untuk urang sumando(suami dari anak perempuan)
6.menyimpan kekayaan keperluan penghulu
7.menyimpan kekayaan sehari-hari
8.untuk orang muda sebagai moral dan keperluan lain.
Istano Basa Pagaruyung posisinya di tengah. Seluruh rangkiang disatukan dengan istano,jadilah satu nama Rangkiang Patah Sembilan.


Halaman istano


Mahligai berada pada tingkat ketiga dan ruangan ini berfungsi untuk menyimpan alat-alat kebesaran raja seperti mahkota kerajaan yang dahulunya disimpan dalam sebuah peti khusus yang dinamakan Aluang Bunian. Apabila ada acara tertentu,alat-alat kebesaran ini dikeluarkan dari tempatnya.


Disediakan meja dan kerusi untuk berehat.


Contoh senapang dan pedang .Dilarang menyentuhnya.


Peti kayu tempat menyimpan alat-alat kebesaran.


Rangkiang diambil dari jendela lantai tiga.


Mahligai tempat menyimpan harta raja dan alat-alat kebesaran raja.


Tangga turun dari lantai tiga.


Lantai kedua tempat puteri raja yang belum berkahwin.


Laluan menuju ke dapur istana. Terpisah daripada bahagian utama istana.


Surau letaknya di belakang istana,fungsinya sebagai tempat solat,belajar,mengaji dan tempat tidur putera raja yang telah akil baligh atau yang telah berumur tujuh tahun ke atas. Mereka juga belajar Undang-undang Adat,Hukum Syarak,Sejarah,Seni Budaya dan Bela Diri.


Dinding belakang dibuat daripada buluh,terdapat dua lapis iaitu dinding tadia dan dinding sasak. Kedua-duanya adalah pelindung bagi penghuni rumah dan isinya.


Dinding Tadia ialah dinding bahagian dalam yang dibuat daripada bambu jenis umum. Bambu ini melambangkan peranan seorang wanita sebagai seorang ibu ,pendidik utama,suri tauladan,penggerak di samping pendamping dan penasihat peribadi suami. Ia bersama suami dalam menjalani kehidupan dan mendorong ahli keluarga untuk maju bagi masa depan keluarga.
Dinding Sasak pula melambangkan peranan aktif semua pihak bermula dari yang kecil sehinggalah paling tua termasuk penghulu,staf dari pihak ibu dalam pelbagai tanggungjawab.


Dapua(dapur) terletak pada bahagian belakang rumah gadang. Dapur mempunyai dua ruangan iaitu sebelah kanan berfungsi sebagai tempat memasak dengan perkakas atau alat-alat dapur tradisional. Sebelah kiri pula berfungsi sebagai tempat para dayang yang berjumlah 12 orang.


Peralatan memasak dan peti simpanan.


Tempat memasak makanan. Pasir diletakkan bagi memudahkan api padam selepas selesai memasak.


Peralatan yang ada seperti:-
1. Peti pemberasan
2. Tabung bambu kawa
3. Tabung niro
4. Tabung Labo
5. Lukah ikan
6. Lukah belut
7. Jalo
8. Perlengkapan tabung
9. Lampu gantung
10. Lampu dinding
11. Peralatan dapur lainnya





Bekas buluh digunakan untuk meletakkan sudip dan senduk yang dibuat daripada kayu.


Peralatan mengayak.


Iklan menjual minyak urut. Minyak dari istano tidak dijual ditempat lain. Aku ada try sapu minyak tu pada tangan. Tak beli sebab susah nak bawa cecair nanti.


Tempat menyimpan kayu api. Dayang terpaksa menaiki tangga ini untuk mengambil kayu api. Kata pekerja istana yang mengiringi aku ni dia pun tak tau sebab kayu diletakkan di tempat yang tinggi begitu. 


Patung raja dan bundo kanduang.


Siapa ya..penghulu kah?


Bundo kanduang kepada raja merupakan orang penting dalam pemerintahan beraja Minangkabau. 


Ambil gambar dengan bundo kanduang dan raja Minangkabau.


Tiang Panjang
Deretan yang ketiga dari depan dinamakan tiang panjang yang mewakili dan melambangkan kemampuan pemimpin,cendikiawan Minangkabau dalam memimpin dan menjaga kesatuan kerajaan dalam semua aspek kehidupan. Deretan Tiang Panjang juga dinamakan tiang Simajolelo.


Hiasan pada syiling kayu.


Hiasan dinding dan bumbung bilik raja.


Tiang Panagua Alek(berdekatan jendela)

Deretan pertama dari depan dinamakan tiang panagua alek yang mewakili dan melambangkan peranan penghulu kaum sebagai penasihat dari setiap pertemuan,kegiatan sosial dan keramaian  dalam masyarakat. Deretan tiang ini juga dipanggil tiang tapi.

Tiang Temban

Deretan yang kedua dari depan dinamakan tiang temban yang mewakili dan melambangkan keramahan,suka menerima tetamu,suka menolong tanpa membezakan agama,bangsa,dan warna kulit.


Hiasan pada syiling


Istano dibina senget supaya tahan dengan gempa bumi.



Pelancong menyewa pakaian Minangkabau


Lama juga di sini lebih satu jam. Pekerja istano yang mengiringi aku tu sangat peramah dan banyak memberikan info sepanjang aku naik setiap tingkat istano.


Selamat tinggal istano,kapan bisa bertemu lagi ya ?
Binaan istano yang mengagumkan melambangkan ketinggian adat dan kebijaksanaan mereka dalam menjalani kehidupan.


Kalau letih nak berjalan boleh menaiki tram ni mengelilingi istano.


Aku membeli dua cd lagu Minang dan sebuah buku tentang istano ini. Cd berharga Rp 25 ribu sebuah dan buku Rp 60 ribu. Suka dengar lagu Minang berjudul "Ayam Den Lapeh"


Gerai yang menjual pelbagai cenderemata. Cantik replika mini rumah gadang tu 


Nak beli tapi memikirkan susah nak membawanya. Kali pertama datang banyak beli kain sulam,mungkin lain kali dapat bawa balik replika mini rumah gadang ni.


Pelbagai jenis key chain. Dah beli hari pertama sampai Bukittinggi jadi tengok-tengok ajelah.
Perjalanan ke istano ini merupakan cerita terakhir yang dapat aku siapkan untuk blog ini. Banyak sangat info yang harus aku tulis dan teliti. Pengalaman ini akan aku ingat buat selama-lamanya. Hanya Allah dapat menentukan perjalanan kedua aku ke sini lagi kerana selepas ini perjalanan aku akan ke tempat baharu untuk mencari pengalaman baharu pula. Apabila melihat budaya ,bahasa,cara hidup masyarakat lain di tempat lain malah yang sama agama ini begitu mengujakan hati aku ini,terima kasih dan syukur ya Allah memberikan kesempatan ini kepadaku. 





No comments:

Post a Comment